SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang suka membuang sampah sesuka hati menyebabkan pemandangan Pantai Esen yang berlokasi di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang tidak lagi indah hingga menjejaskan kedatangan pelancong ke situ.
Pantai Esen yang turut dikenali sebagai ‘pulau tersembunyi’ kini dipenuhi longgokan bahan buangan seperti bekas makanan, botol minuman dan sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung selepas beriadah atau berkelah.
Menurut laman Facebook Penang Kini, sisa sampah sarap yang dibiarkan di tepi pantai itu dipercayai ditinggalkan orang ramai yang berkunjung ke pantai tersebut sehingga mencacatkan pemandangan.