KEKELIRUAN ketika memasuki susur keluar di lebuh raya dipercayai menjadi punca sebuah kereta memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan bersama satu kenderaan lain pada Isnin lalu.
Insiden yang berlaku di jejambat berdekatan susur keluar ke Jalan Tun Razak Utara di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Kuala Lumpur itu dirakam menerusi video tular daripada kamera papan pemuka sebuah kenderaan di lokasi.
Berdasarkan klip berdurasi 11 saat itu, sebuah kenderaan yang sedang dipandu di lorong kanan sebuah selekoh dikejutkan dengan kehadiran satu kereta lain yang dipandu melawan arus dan menyebabkan kedua-dua bertembung secara berhadapan.