KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuka kuota import dengan lebih banyak sejak beberapa musim lalu menyaksikan hampir semua kelab giat menggunakan kesempatan itu dalam usaha mencatatkan keputusan lebih cemerlang.
Meskipun ia memberi tamparan hebat terhadap struktur kewangan pasukan, kehadiran mereka membawa impak besar berbanding pemain lokal, baik dari segi gaya permainan mahupun kecergasan sepanjang berada di atas padang.
Namun, masih terdapat sebahagian import yang sukar menyesuaikan diri dalam arena bola sepak tanah air sehingga mendesak mereka meninggalkan Liga Super lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam kontrak.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu wajar buru 3 import Liga Hong Kong ‘salin’ import otai musim depan
BACA LAGI: Buktikan masih berbisa, Alvaro ikut jejak Bergson, 2 lagi import JDT ledak gol debut
Jadi, selepas mengambil keputusan berkenaan, rata-rata daripada pemain berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke negara kelahiran masing-masing dan menerima apa-apa tawaran diberikan.
Malah, sepanjang kempen 2024/25, penonton dapat menyaksikan sebahagian besar import berbuat demikian berbanding mencuba nasib di liga-liga lain kerana tidak mahu membuang masa untuk menyesuaikan diri.
Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tiga pemain luar negara yang pulang ke kampung halaman masing-masing usai menamatkan tempoh perkhidmatan buat pasukan Liga Super.
1. Jalil Elias (JDT)
Selepas bergelut untuk menyesuaikan diri dalam Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias mengambil keputusan untuk pulang ke Amerika Selatan dan menyertai kelab Argentina, Velez Sarsfield.
Dia yang merupakan pemain kebangsaan Syria mengambil keputusan demikian kerana lahir di negara terbabit selain menghabiskan sebahagian besar daripada tempoh permainannya di sana.
Jalil beraksi buat Velez Sarsfield selepas meninggalkan JDT. — Instagram/Jalil Elias
Perpindahan berkenaan jelas membuahkan hasil kerana dia yang pernah muncul sebagai pemain paling bernilai dalam Liga Super itu menjulang trofi pertama dalam kariernya setelah menjuarai Liga Argentina.
Meskipun peluang tersebut jelas terbuka bersama skuad Harimau Selatan, Jalil kelihatan lebih selesa untuk beraksi di Argentina yang cukup sinonim dengan sukan bola sepak.
Malah, pemain berusia 28 tahun itu juga sudah menutup pintu kepulangannya ke Liga Super apabila khabar angin kuat mengatakan dia akan kembali ke negara itu untuk menyertai Atletico Belgrano.
2. Luka Milunovic (Perak FC)
Jentera serangan skuad The Bos Gaurus (TBG) mengalami ketempangan pada penghujung Disember lalu selepas tiga pemain, iaitu Lee Tae-min, Jesper Nyholm dan Luka Milunovic mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu.
Daripada ketiga-tiga import tersebut, situasi melanda Luka yang sudah beraksi di Utara tanah air sejak pertengahan 2023 lebih menarik untuk dikupas kerana dia memiliki pelbagai pilihan lain dalam kariernya.
Selain berpeluang menyertai pasukan lain dalam Liga Super, penyerang tersebut boleh memilih untuk beraksi dalam negara-negara sekitar Eropah seperti mana pernah dilakukannya sebelum ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu memilih untuk kembali ke Serbia dan menyertai kelab di divisyen kedua, FK Vozdovac yang juga menempatkan seorang lagi bekas import Liga Super, Nemanja Vidic.
Pengalaman Luka beraksi dalam Liga Malaysia dan sekitar Eropah pasti diharapkan dapat membantu pasukan tersebut untuk kembali ke divisyen teratas dengan mereka kini menduduki tangga keenam selepas 21 perlawanan.
3. Reziq Bani Hani (Selangor FC)
Musim ini, Selangor FC jelas berminat dengan sentuhan import dari Jordan selepas dua pemain dari negara itu, Noor Al-Rawabdeh dan Yazan Al-Arab bersinar dalam kempen-kempen sebelum ini.
Jadi, bagi memperkukuhkan lagi kepercayaan terhadap negara Timur Tengah tersebut, pihak pengurusan kelab Lembah Klang tersebut memilih untuk membawa masuk Reziq Bani Hani pada jendela perpindahan pertama liga.
Pemain yang beraksi buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Jordan itu sememangnya menjadi buah mulut peminat di rantau tersebut setelah beraksi cemerlang di peringkat kelab mahupun antarabangsa.
Reziq memilih untuk pulang ke Jordan dan menyertai Al Hussein SC. — Instagram/Reziq Bani Hani
Namun, meskipun pulangannya adalah cukup baik, pemain tersebut secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk pulang ke negara asalnya pada jendela perpindahan kedua dengan pelbagai spekulasi timbul dalam kalangan penyokong.
Tidak lama selepas penghijrahan itu diumumkan, Reziq memeterai perpindahan ke Al Hussein SC dengan pasukan tersebut turut dibarisi bekas import Liga Super, Mahmoud al-Mardi yang beraksi buat Kedah Darul Aman FC pada 2022.
Keputusan diambil Reziq tersebut jelas membuahkan hasil kerana pada minggu lalu, kelab berkenaan diumumkan sebagai juara Jordan Super Cup sementara Selangor FC masih menunggu kejuaraan mereka sehingga hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram