KUALA Lumpur Thunder tidak berdepan masalah untuk bergelar juara Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Membariskan pemain kebangsaan, Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder jelas berada di kelas tersendiri untuk menundukkan juara bertahan musim lalu, Perak Bison dengan kemenangan 15-7 pada set pertama.
Perak Bison yang dibarisi oleh Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) gagal menampilkan persembahan menarik apabila tidak memiliki sebarang peluang untuk melakukan libasan dan rejaman untuk mencuri mata.