KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu seorang murid, Muhammad Aqil Naufal Zahiran yang tular baru-baru ini selepas dia berusaha keras menamatkan larian 100 meter (m) di satu Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas dengan menggunakan tongkat.
Menyanjungi usaha murid 11 tahun itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi komitmen akan berusaha melakukan yang terbaik di pihak KBS untuk membantu Muhammad Aqil, termasuk dalam menyertai lebih banyak aktiviti sukan pada masa akan datang.
Malah, menurutnya, KBS melalui Institut Sukan Negara (ISN) membuat persiapan untuk bertemu dengan pakar prostetik minggu ini bersama keluarga Muhammad Aqil.