PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) ingin menekankan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
FAM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pelaksanaan program pembangunan pengadil dan operasi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia (Liga M) adalah berasaskan kepada standard operasi serta protokol VAR yang diiktiraf oleh FIFA.
Berhubung perlawanan-perlawanan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan ‘Challenge Cup’ yang menggunakan Sistem Teknologi VAR, setakat ini sebanyak 80 perlawanan bagi musim 2024/2025 ini telah menggunakan teknologi tersebut.