SKUAD bola sepak bawah (B-23) Malaysia memulakan langkah kanan dalam kempen Piala AFF B-23 2023 apabila menewaskan musuh tradisi, Indonesia dengan keputusan 2-1 dalam aksi kumpulan B yang berlangsung di Rayong, Thailand pada Jumaat.
Malaysia yang hadir tanpa tonggak utama seperti Mukhairi Ajmal, Harith Haikal dan Azam Azmi dilihat agak bergelut apabila dibolosi pada minit ke-29 yang dijaringkan oleh penyerang muda sensasi Indonesia, Ramadhan Sananta.
Tersentak dengan jaringan itu, jurulatih negara, E. Elavarasan melakukan rombakan taktikal dengan membawa masuk penyerang muda Johor Darul Takzim II (JDT II) Fergus Tierney untuk mengetuai barisan serangan Harimau Muda.