Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DENGAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru mengeluarkan kemas kini jadual Liga Super minggu ke-24 hingga ke-26 untuk meluangkan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia pada 26 April sebagai penutup musim, ini masanya untuk mengeluarkan sempoa bagi mengira peluang pasukan-pasukan dalam perebutan tangga ketiga.
Sekali imbas pasukan-pasukan di tangga ketiga hingga kelapan masih boleh berubah kedudukan, tambahan sesetengah daripada tiga perlawanan terakhir musim – berakhir pada 19 April – membabitkan perlawanan sesama sendiri tanpa boleh menidakkan peluang Penang FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masing-masing di tangga ke-9, 10 dan 11 dengan 20 mata mampu memperbaiki sedikit kedudukan mereka.