PENYOKONG Paris Saint-Germain (PSG) mempersembahkan satu penghormatan menyentuh hati kepada mendiang anak pengurus pasukan, Luis Enrique iaitu Xana selepas kemenangan kelab itu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Inter Milan.
Xana meninggal dunia pada usia sembilan tahun pada 2019, beberapa bulan selepas disahkan menghidap sejenis kanser tulang yang jarang berlaku. Dalam saat-saat PSG meraikan kejuaraan Eropah mereka di Munich, Xana sentiasa bermain di fikiran Enrique.
Budak perempuan itu pernah meraikan kemenangan UCL bersama Enrique ketika dia membimbing Barcelona menjuarai kejohanan berkenaan pada 2015 menerusi jaringan dari Ivan Rakitic, Luis Suarez dan Neymar Jr pada penghujung babak permainan.