KEPUTUSAN pemain sayap Brazil, Antony untuk meninggalkan Manchester United dan menyertai Real Betis secara pinjaman pada jendela perpindahan musim sejuk berjaya membuahkan hasil.
Penampilan pertamanya dalam LaLiga menyaksikan penyerang berkenaan meraih anugerah pemain terbaik perlawanan setelah pasukannya membawa pulang satu mata penting ketika berdepan RCD Mallorca pada 3 Februari lalu.
Rentak cemerlangnya diteruskan ketika berdepan Celta Vigo lima hari kemudian apabila dia menjaringkan gol pertama buat kelab baharunya itu, namun tidak dapat mengelakkan pasukan tersebut daripada mengalami kekalahan.