HASRAT untuk menyaksikan pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong untuk bermain bersama Selangor FC menjelang jendela perpindahan kedua ini nampaknya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Sebelum ini, foto tular Kobe Jae yang berada pada sesi latihan skuad Gergasi Merah membawa keterujaan dalam kalangan penyokong sehingga rata-ratanya memasang impian untuk menyaksikan kelibat pemain muda itu di saingan liga domestik.
‘Ubi muda’ yang baru sahaja berusia 22 tahun berkenaan dilabel sebagai salah seorang prospek terbaik tanah air kerana sudah bertahun-tahun meraih pengalaman di beberapa kelab luar negara.