KEPUTUSAN Zhejiang FC untuk meneruskan perlawanan Liga Super China beberapa jam selepas kematian tragis penyerang antarabangsa Gabon, Aaron Boupendza mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan peminat bola sepak di China.
Boupendza disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di Hangzhou, China, menurut kenyataan rasmi Persekutuan Bola Sepak Gabon (FEGAFOOT) pada Rabu.
Polis tempatan yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.14 tengah hari mengesahkan kematiannya dan telah menolak sebarang unsur jenayah selepas menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk temu bual dan semakan rakaman video.