MESKIPUN tidak menjuarai Piala MFL musim ini, Selangor FC II masih memiliki lambakan pemain muda berkualiti seperti Rahman Daud, Haykal Danish dan Omid Musawi yang mempunyai masa depan cerah.
Potensi dipamerkan itu memberi gambaran bahawa semua daripadanya sudah bersedia untuk diserap ke dalam pasukan utama dan menggantikan pemain yang kurang mencurahkan impak dalam skuad senior.
Pendekatan itu secara tidak langsung akan mengurangkan perbelanjaan pada jendela perpindahan akan datang kerana pihak pengurusan memecah tabung bagi mendapatkan pemain berkualiti.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani
BACA LAGI: Tiga faktor Saddil dan Selangor saling melengkapi, boleh jadi hebat bersama
Pemain muda dalam skuad Piala MFL sudah boleh diserap ke dalam pasukan utama. — Instagram/Selangor FC
Bagaimanapun, sehingga kini, Selangor FC masih belum memberi kata putus sama ada mahu menaikkan ‘ubi muda’ ke dalam skuad utama meskipun saingan Piala MFL akan dibubarkan.
Sekiranya perkara itu terus dibiarkan, tidak mustahil sekiranya kesemua pemain berbakat akan meninggalkan kelab Lembah Klang berkenaan demi meneruskan karier dan meraih minit permainan kerap.
Jika situasi tersebut berlaku, ini akan menunjukkan skuad Gergasi Merah tidak belajar daripada kesilapan lalu apabila melepaskan tiga pemain berpotensi yang kini bersinar di kelab lain.
1. Damien Lim
Sebelum membuktikan diri sebagai penjaga gol berpotensi, Damien Lim pernah berdepan ketidaktentuan dalam karier di peringkat kelab apabila menyertai beberapa pasukan tempatan.
Ini termasuk skuad muda Selangor FC yang merupakan pasukan awal dalam kariernya sebelum dia berkelana pada 2018 untuk menyertai PKNS FC selepas sukar menembusi pasukan utama.
Meskipun tiada sebarang rekod mengenai tempohnya di sana, Damien Lim sudah memaparkan potensi besar apabila turut beraksi ketika saingan Piala AFF Bawah 19 Tahun (B-19) di Hanoi, Vietnam.
Damien Lim (atas, kiri) ketika beraksi buat skuad Gergasi Merah. — Instagram/Damien Lim
Keputusan meninggalkan skuad muda Gergasi Merah jelas membuahkan hasil kerana dia kemudiannya menyertai Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2020 sebelum berkelana ke Negeri Sembilan FC pada musim berikutnya.
Ketika beraksi buat skuad Jang, pemain kelahiran Selangor itu bertuah apabila dia berkesempatan menimba ilmu di bawah bimbingan jurulatih penjaga gol ternama, Megat Amir Faisal yang turut membentuk Syihan Hazmi, Sikh Izhan Nazrel dan Kalamullah Al-Hafiz.
Setelah setahun beraksi buat Negeri Sembilan FC, Damien Lim kemudian menyertai Sabah FC yang menjadi platfrom terbaik untuknya membuktikan kebolehan sehingga berjaya meraih panggilan antarabangsa meskipun masih belum mencatatkan penampilan sehingga kini.
2. Zarif Irfan
Selain Damien Lim, seorang lagi penjaga gol bertaraf Liga Super yang bakatnya gagal disedari Selangor FC ialah Zarif Irfan Hashimuddin yang kini beraksi buat Sri Pahang FC.
Dia yang bermain bersama skuad Gergasi Merah pada 2018 hanya kekal bersama pasukan itu selama dua musim sebelum menyertai PKNS FC dengan saingan sengit membuatkannya sukar merebut tempat.
Zarif yang ketika itu baru sahaja berusia 22 tahun mengambil keputusan untuk berkelana dengan penghijrahan tersebut sedikit sebanyak memberi ruang buat penjaga gawang berkenaan berada dalam kesebelasan utama.
Selangor FC merupakan salah sebuah kelab pernah disertai Zarif Irfan.
Berdasarkan statistik, pemain kelahiran Kedah tersebut sempat beraksi buat PKNS FC sebanyak 34 kali selama dua musim sebelum kelab berkenaan dibubarkan dan menjadi Selangor FC II pada 2020.
Perubahan tersebut menyaksikan Zarif Irfan memilih untuk berkelana sekali lagi dengan dia memilih Sri Pahang FC sebagai destinasi terbaru yang juga merupakan pasukannya sehingga hari ini.
Meskipun situasi skuad Tok Gajah tidak begitu baik ketika ini, penjaga gol berusia 30 tahun itu masih memainkan peranan penting ketika membantu kelab Pantai Timur itu mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25.
3. Zhafri Yahya
Nama Zhafri Yahya sememangnya tidak kerap meniti bibir penyokong kerana terdapat lambakan pemain sayap lebih bersinar berbanding tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC terbabit.
Bagaimanapun, di mata segelintir peminat tegar Selangor FC, mereka masih mengakui pemergiaan pemain berusia 30 tahun itu adalah salah satu kerugian terbesar pernah dilakukan skuad Gergasi Merah.
Ini kerana lama sebelum beraksi di ibu kota, Zhafri terlebih dahulu mencuba nasib bersama pasukan muda Selangor FC sebelum dia memilih untuk berkelana kira-kira sembilan tahun lalu.
Zhafri (sembilan dari kiri) semasa beraksi dalam Piala Presiden buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Dia yang pada awalnya hanya meninggalkan skuad Gergasi Merah secara pinjaman memilih untuk terus kekal bersama KLFA meskipun kelab terbabit tidaklah begitu terkenal.
Kesabaran dan kesetiaan dicurahkan akhirnya membuahkan hasil kerana sepanjang beraksi di ibu kota, Zhafri berpeluang menjulang Liga Perdana serta Piala Malaysia di samping melangkah ke final Piala AFC 2022.
Pencapaian dinikmati bersama KL City FC membuatkan segelintir penyokong mengharapkan pemain sayap terbabit dapat disambar Selangor FC, namun dia memilih untuk kekal meskipun kelab terbabit mengalami masalah ekonomi yang gawat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram