PERLAWANAN persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat (11 April) di Alor Setar, Kedah terpaksa ditunda ke tarikh baharu.
Keputusan itu diambil berikutan ketidakhadiran tetamu istimewa, Ricardo Quaresma yang tidak dapat turun ke Kedah pada tarikh yang ditetapkan.
Kegagalan Quaresma hadir disebabkan masalah kesihatan melibatkan ahli keluarganya yang menghalangnya daripada memenuhi komitmen tersebut.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sahaja gah atas padang, 3 bintang JDT pamer sikap rendah diri
BACA LAGI: Bukan 100 peratus produk AMD, Arif Aiman lahir hasil bimbingan JDT
Walaupun begitu, bintang Portugal itu tampil dengan rakaman video untuk memohon maaf kepada peminat serta penyokong yang telah menantikan kehadirannya.
Ketidakhadiran Quaresma itu pasti mengingatkan penyokong tempatan mengenai tiga pemain yang pernah dikaitkan untuk beraksi di tanah air, namun impian tersebut tidak kesampaian.
Ini menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peminat yang berharap dapat menyaksikan pemain bertaraf dunia beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
Sebelum Quaresma, Majoriti menyenaraikan tiga bintang dunia yang pernah disebut-sebut untuk menyertai beberapa pasukan tempatan, namun akhirnya tak kesampaian.
1. Radamel Falcao (JDT)
Penyerang bertaraf dunia, Radamel Falcao sebelum ini pernah mengejutkan kancah bola sepak tempatan apabila namanya dikaitkan dengan kemungkinan untuk menyertai pasukan gergasi tempatan, Johor Darul Takzim (JDT).
Khabar angin itu timbul selepas beberapa pertemuan yang diatur oleh pihak pengurusan, termasuk Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama pemain berkenaan.
Lebih menguatkan spekulasi, beberapa agensi bola sepak antarabangsa turut memainkan isu tersebut dengan mendakwa bahawa bekas penyerang Chelsea dan Manchester United itu semakin hampir untuk menyertai Liga M.
Falcao (kiri) pernah bertemu TMJ beberapa kali sebelum ini. — Instagram/hrhcrownprinceofjohor
Kehadiran Falcao dijangka bukan sahaja mampu mengangkat reputasi JDT, malah memberi pendedahan baharu kepada liga tempatan di peringkat global.
Namun, khabar tersebut akhirnya terhenti apabila Falcao menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano, sekali gus mengakhiri impian peminat Liga Malaysia untuk melihat bintang bekas Manchester United itu beraksi di liga tempatan.
Dalam perkembangan terkini, Falcao menyertai Millonarios FC, kelab divisyen 1 Colombia pada Julai tahun lalu dengan kontraknya dijadualkan berakhir pada Jun depan.
2. Ronaldinho (Perak FA)
Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo de Assis Moreira atau lebih dikenali sebagai Ronaldinho tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Di samping pernah memenangi Anugerah Ballon d’Or pada 2005, bintang antarabangsa Brazil berkenaan juga pernah menjulang pelbagai trofi, termasuk Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2006 serta Piala Dunia 2002.
Masih ingatkah anda bahawa terdapat khabar angin yang mengatakan Ronaldinho pernah menyatakan hasratnya untuk menyertai pasukan Liga Super, iaitu Perak FA.
Ronaldinho dipilih sebagai pemain terbaik dunia pada 2005. — Agensi
Khabar angin itu timbul selepas Ronaldinho mengungkapkan minat untuk bermain di Liga M selepas teruja melihat sokongan padu peminat tempatan dalam lawatannya pada 2018.
Dia bahkan menyatakan kesediaan untuk menyertai mana-mana kelab, walaupun secara percuma. Perak FA, yang baru sahaja layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC, turut menunjukkan minat untuk membawa Ronaldinho.
Namun, impian peminat untuk melihat bintang berkenaan beraksi di Liga M tidak menjadi kenyataan, apabila kedua-dua pihak tidak meneruskan sebarang rundingan.
Begitupun, legenda bola sepak Brazil dan bekas pemain Barcelona itu akhirnya membuat keputusan untuk bersara daripada bermain bola sepak.
3. Mesut Ozil (JDT)
Status serta reputasi JDT di peringkat global sememangnya sukar untuk dipersoalkan memandangkan TMJ sering memberi penekanan terhadap aspek berkenaan.
Dengan cita-cita besar, JDT sering berusaha mendapatkan pemain terkenal untuk memperkukuhkan skuad.
Seperti Falcao yang pernah dikaitkan dengan JDT, kehadirannya dijangka mampu meningkatkan profil pasukan di mata peminat bola sepak.
Namun, Falcao bukanlah pemain berstatus ‘superstar‘ pertama yang pernah dikaitkan dengan JDT apabila pemain tengah antarabangsa Jerman, Mesut Ozil juga pernah dikaitkan dengan kelab itu.
Ozil pernah mewakili beberapa pasukan terkenal di sekitar Eropah. — Agensi
Pemain tengah antarabangsa Jerman, Mesut Ozil juga pernah dikaitkan dengan JDT pada musim 2022 selepas kontraknya ditamatkan oleh Fenerbahce.
Ozil yang berstatus ejen bebas ketika itu dilihat mencari kelab baharu. Namun, TMJ segera menepis khabar angin tersebut, menyatakan dia tidak memiliki semangat berpasukan yang tinggi.
Keputusan itu mengecewakan peminat tempatan, mengingatkan sumbangan Ozil yang cemerlang bersama Real Madrid, Arsenal dan skuad Jerman di Piala Dunia 2014.
Bekas pemain tengah Real Madrid dan Arsenal itu bagaimanapun mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 34 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram