Dengar Suria

Sukan

‘Pemain tempatan kian tenggelam, asyik-asyik harapkan naturalisasi’

PEMAIN tempatan kian tenggelam, naturalisasi jadi tempat bergantung”, kini menjadi ungkapan yang jelas menggambarkan kebimbangan terhadap hala tuju bola sepak tanah air yang semakin meruncing.

Perkara itu memperlihatkan situasi yang mana pemain tempatan semakin kurang diberi peranan utama dalam pasukan kebangsaan sama ada disebabkan kurangnya peluang beraksi secara konsisten ataupun kerana prestasi yang belum mencapai tahap antarabangsa.

Akibatnya, pemain naturalisasi dilihat sebagai jalan mudah untuk mengisi kekosongan, terutamanya di posisi penting.

BACA LAGI: ‘Tahu-tahu muncul atas padang,’ pemerhati saran FAM buat kerja ‘proper’ perkenal pemain warisan

BACA LAGI: Tekad tamatkan penantian 10 tahun, Cklamovski berkobar-kobar bertemu Vietnam

Walaupun langkah itu berpotensi memberi impak positif dalam jangka masa pendek, persoalan jangka panjang timbul iaitu sampai bila Malaysia akan bergantung kepada pemain naturalisasi? Dan adakah usaha pembangunan bakat tempatan akan terus terpinggir?.

Situasi itu turut dikaitkan dengan struktur liga pembangunan yang masih belum mantap. Sebagai contoh, Kejohanan Piala Belia baru-baru ini menyaksikan penyertaan dua pasukan berbeza daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bakat pemain muda perlu digilap sejak peringkat awal bagi mengelakkan ketandusan pemain tempatan pada masa hadapan. — Facebook/FAM

Walaupun langkah itu bertujuan memberikan lebih banyak peluang perlawanan kepada pemain muda JDT, ia juga mendedahkan isu sebenar jumlah perlawanan kompetitif untuk pemain muda di peringkat nasional masih tidak mencukupi.

Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa tindakan menerima dua skuad JDT dalam satu kejohanan adalah petanda jelas kekurangan jumlah perlawanan yang disediakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurutnya, situasi itu berpunca daripada kegagalan dua kelab menyertai Liga Super musim hadapan, yang sekali gus menjejaskan struktur penyertaan dalam liga-liga pembangunan.

“Jumlah perlawanan menjadi sedikit terjejas. Oleh itu, MFL tiada pilihan selain menerima dua pasukan JDT untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Ini menunjukkan sistem liga masih belum kukuh dalam menyediakan platform pembangunan yang mampan buat pemain muda,” katanya kepada Majoriti.

JDT mengambil langkah unik dengan menghantar dua pasukan berbeza untuk bertanding dalam kejohanan Piala Belia musim ini. — Facebook/FAM

Tambah beliau lagi, MFL disarankan mendapatkan pandangan daripada semua pemegang taruh, khususnya kelab-kelab bertanding, bagi merangka pendekatan terbaik dalam menambah jumlah perlawanan kompetitif untuk pemain remaja.

“MFL perlu duduk semeja dengan pasukan yang terlibat untuk membincangkan bagaimana kita boleh menambah jumlah perlawanan untuk pemain bawah umur, kerana mereka inilah yang akan menjadi tulang belakang bola sepak negara suatu hari nanti,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr. Zulakbal turut memberi amaran bahawa kekurangan perlawanan kompetitif bagi pemain muda akan memberikan kesan jangka panjang kepada bola sepak Malaysia.

“Sudah tentu kesannya besar. Kita tidak akan mampu melahirkan pemain tempatan yang benar-benar berdaya saing, dan akhirnya kita hanya akan terus bergantung kepada pemain naturalisasi semata-mata,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

0%
Path: /terkini/sukan/pemain-tempatan-kian-tenggelam-asyik-asyik-harapkan-naturalisasi