NAMA Arif Aiman Hanapi terus disebut-sebut selepas penyerang sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu beraksi cemerlang di peringkat domestik serta Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim ini.
Keunggulan ditampilkan setiap kali diturunkan itu menyaksikan pemain Harimau Malaya tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors.
Meskipun masih tiada pengesahan rasmi mengenainya, khabar angin berkenaan mula rancak meniti bibir peminat bola sepak tanah air dengan majoriti daripada mereka mengharapkan ura-ura tersebut dapat dimeterai.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Disebut rebut posisi sayap kanan, ada 3 sebab Castillejo bukan pengganti Arif Aiman
BACA LAGI: ‘Rumors’ ke Iran mula senyap, Arif Aiman dipetik bakal berkelana ke Korea Selatan
Satu lagi musim menakjubkan dinikmati Arif Aiman bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini kerana ramai beranggapan Arif Aiman dapat mengembangkan lagi bakatnya kerana dia berpeluang beraksi dalam tahap lebih kompetitif berbanding apa yang dirasakan dalam arena bola sepak tanah air ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, perpindahan ke negara Asia Barat berkenaan mampu memberi pendedahan bermakna buat pemain berusia 22 tahun tersebut kerana terdapat lambakan pemain berkualiti yang sedang beraksi di sana.
Malah, sekiranya bintang Harimau Selatan terbabit memilih untuk menyertai Jeonbuk Hyundai Motors, dia berpeluang berdepan pemain yang memiliki pengalaman berentap di pentas Piala Dunia dalam karier masing-masing.
1. Jesse Lingard (FC Seoul)
Nama pertama yang sudah tentu diletakkan dalam senarai ini pastinya bekas pemain Manchester United, Jesse Lingard yang mencetus kejutan apabila menyertai kelab Korea Selatan, FC Seoul tahun lalu.
Pemain yang mempunyai pengalaman luas di England itu mencuri perhatian ramai ketika memilih pasukan berkenaan kerana dia berjaya menghangatkan lagi saingan liga di negara terbabit.
Namun, perhatian diberikan kepadanya bukan sahaja disebabkan pengalamannya beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi juga berpunca daripada zaman permainannya bersama pasukan antarabangsa England.
Lingard menjaringkan satu gol ketika England menundukkan Panama dalam aksi Piala Dunia 2018. — Agensi
Berdasarkan statistik, Lingard beraksi buat skuad The Three Lions sebanyak 32 kali dengan enam daripadanya disaksikan ketika mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.
Dalam kejohanan yang diadakan di Rusia itu, tonggak FC Seoul itu sempat menjaringkan satu gol ketika berdepan Panama selain merekodkan dua bantuan jaringan.
Lingard bagaimanapun tidak berpeluang untuk beraksi buat negaranya dalam edisi empat tahun kemudian memandangkan England memiliki lambakan pilihan lain untuk beraksi sebagai pemain tengah menyerang.
2. Kim Jin-su (FC Seoul)
Selain Jesse Lingard, FC Seoul turut memiliki beberapa pemain dengan penampilan dalam Piala Dunia, termasuk bek kiri utama mereka, Kim Jin-su yang beraksi dalam kejohanan di Arab Saudi.
Pemain yang mempunyai 75 kaps antarabangsa buat Korea Selatan itu tidak bernasib baik bagi edisi 2014 dan 2018 akibat kecederaan, namun akhirnya diberi peluang tiga tahun lalu.
Dia yang ketika itu berusia 29 tahun dianggap berada dalam prestasi terbaik apabila diturunkan dalam semua empat perlawanan, termasuk ketika mereka mencatatkan kemenangan mengejutkan 2-1 ke atas Portugal.
Jin-su (kanan) ketika mengasak tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo dalam aksi kumpulan. — Agensi
Bagaimanapun, kempen Korea Selatan serta Jin-su pada Piala Dunia 2022 berakhir di tangan Brazil di pusingan 16 pasukan terbaik dengan kemaraan skuad kendalian Paulo Bento itu wajar diberi pujian.
Kini, pemain pertahanan sayap tersebut masih beraksi buat FC Seoul dalam saingan liga sejak menyertai kelab tersebut pada pertengahan Januari lalu menjelang musim baharu mereka.
Sekiranya Arif Aiman sah menyertai Jeonbuk Hyundai Motors, penyokong sudah tentu berpeluang menyaksikan pertembungan mereka di atas padang dengan ia akan menjadi satu pertemuan menarik untuk ditonton.
3. Chul Hong (FC Gangwon)
Salah satu kunci utama yang membolehkan Korea Selatan layak ke Piala Dunia secara konsisten adalah kerana rata-rata daripada pemain mereka beraksi dalam liga sendiri, sekali gus mewujudkan sikap kompetitif antara mereka.
Seperti dinyatakan di atas, Jin-su yang kini beraksi buat FC Seoul merupakan contoh terbaik memandangkan dia berpeluang beraksi buat pasukan negara bagi kempen yang lalu.
Tonggak utama FC Gangwon, Chul Hong turut meraih manfaat daripada minit permainan kompetitif kerana bek kiri itu juga sempat beraksi dalam kejohanan berprestij itu ketika ia dilangsungkan di Rusia.
Chul Hong sempat beraksi sebanyak tiga kali di pentas Piala Dunia 2018. — Agensi
Berdasarkan rekod, dia beraksi sebanyak dua kali ketika Korea Selatan menamatkan kemaraan di peringkat kumpulan selepas hanya berada di kedudukan tercorot.
Namun, pasukan itu masih pulang dengan kenangan manis apabila berjaya menundukkan juara bertahan, Jerman dalam perlawanan terakhir mereka yang turut menyaksikan skuad Die Mannschaft gagal meloloskan diri ke peringkat kalah mati.
Perlawanan itu turut menyaksikan Chul Hong diturunkan sebelum terpaksa menunggu sehingga edisi tiga tahun lalu untuk menambah koleksi penampilan dalam Piala Dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram