Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
MENANG tapi masih bolos dan menang tapi tak bermain cantik, Nidzam Jamil harus semakin berasakan jangkaan tinggi terhadapnya mengemudi barisan Gergasi Merah. Ada ketikanya mencebik dan ada kalanya ketawa, ketua jurulatih Selangor FC itu tetap menyerlahkan sisi cerianya selepas menundukkan Penang FC 4-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu malam.
Selepas menamatkan rentetan tiga kekalahan – 1-2 kepada Kuching City FC, 0-1 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dan 2-3 kepada Terengganu FC – jurulatih berusia 44 tahun itu seakan-akan sudah bersedia menangani apa saja ‘persepsi’ yang dianggapnya ada pelbagai dalam bola sepak dan tidak semua orang melihat sesuatu dari sudut positif semata-mata.