BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
PERHATIKAN betul-betul carta terkini liga. Kemudian lihat pula jadual perlawanan yang berbaki hingga tamat pusingan ke-26 Liga Super. Dilihat dari atas ke bawah atau jika suka, dari bawah ke atas, anda tidak dapat mengalihkan tumpuan daripada satu perkara – bahawa Selangor FC masih berada di “kerusi pemandu” untuk menamatkan musim di tangga kedua.
Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah, mungkin melihatnya berbeza. Kepada bekas jurulatih skuad ‘double treble’ Sang Kenari 2006-2008 itu, dia harus bernostalgia untuk mengharapkan KDA FC mampu memintas ketika menghampiri garis penamat bagi bergelar naib juara.