PERSIAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk ke saingan musim 2024/2025 tidak lagi sepi apabila skuad Sang Kenari sudah mula rancak mengumumkan ketibaan pemain baharu yang bakal memperkuatkan pasukan tahun ini.
Setakat ini, pasukan Hijau Kuning sudah mengumumkan kehadiran lima pemain baharu yang terdiri daripada empat tonggak tempatan iaitu Rizal Ghazali, Zamri Pin Ramli, Irfan Zakaria, Syafiq Ahmad dan bintang import, Sukhrob Nurullaev.
Antara lima wajah baharu itu, Nurullaev yang diterbangkan dari Uzbekistan menjadi tumpuan penyokong sehingga dilaporkan hampir 500 peminat sanggup turun ke padang latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah untuk menyaksikan kelibatnya.