SELEPAS lima bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia sebelum ini gagal, Maghribi akhirnya diberi penghormatan menganjurkannya bersama-sama Sepanyol dan Portugal pada 2030.
Pengumuman gembira itu sudah pasti menaikkan semangat negara Afrika Utara yang dilanda gempa bumi yang mengorbankan hampir 3,000 orang pada September lalu.
Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang membuat pengumuman mengejut setahun lebih awal berbanding dirancang, berkata, Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan menganjurkan kejohanan pada 2030, sambil menambah Uruguay, Argentina dan Paraguay turut akan menjadi tuan rumah satu perlawanan bagi meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij itu.