BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pegawai, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
TIDAK mudah untuk merantai Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, untuk satu temu bual. Bukan kebiasaan untuk tokoh korporat yang juga pengerusi bukan eksekutif syarikat senaraian awam, XOX Bhd, ini untuk diajak duduk bersebelahan bagi menjawab soalan-soalan ‘cepumas’ berkaitan pasukan yang dipimpinnya melainkan ia satu sidang akhbar yang telah diatur.
Apatah lagi, Perak FC yang tidak sunyi daripada kontroversi pemecatan ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, yang awalnya membawa bersamanya harapan besar, kesudahannya menamatkan musim sekadar di tangga ke-11 – atau hanya tiga takuk lebih baik daripada Kelantan FC di tangga terbawah.