LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa 13 daripada 15 kelab yang memohon telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26, sekaligus melayakkan diri beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
MFL memaklumkan bahawa 11 kelab dari Liga Super serta dua pasukan dari Liga Bola Sepak Amatur (AFL A1), iaitu Melaka FC dan Imigresen FC sudah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan yang membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Kedua-dua pasukan amatur itu menerima kelulusan khas menerusi Artikel 15, Lesen Kebangsaan Luar Biasa, selepas permohonan mereka diluluskan oleh First Instance Body (FIB), badan bebas yang menilai kelayakan lesen.