JELAS sekali, perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Terengganu FC pada Jumaat tidak lagi berkisarkan mengenai pertarungan taktikal antara Esteban Solari dan Tomislav Steinbruckner. Tetapi ia lebih tertumpu kepada isu lain yang tidak disangka oleh semua pihak.
Segala kemeriahan serta keterujaan yang sepatutnya terpancar menjelang sepak mula perlawanan akhir tersebut terus dibayangi dengan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak siap mengikut masa.
Rumput tersebut begitu teruk dengan kekecewaan jelas terpancar kepada penyokong bola sepak tempatan terutamanya dua pasukan bertanding. Malah, pihak pasukan turut berasa sedemikian kerana sudah terlewat untuk Malaysian Football League (MFL) menukar lokasi perlawanan.