LIMA minggu menyertai sesi percubaan bersama skuad belia kelab berpangkalan di Jerman, VfL Wolfsburg bermula awal Ogos lalu nyata memberi pengalaman berbeza buat prospek bola sepak wanita tanah air, Qaseh Rania Khairul Najib.
Bertutur dalam bahasa berbeza bukan alasan bagi tonggak berusia 14 tahun berkenaan mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sehingga menjadi pemain yang disenangi oleh rakan-rakan di sana.
Berkongsi kepada Majoriti mengenai pengalaman sewaktu awal-awal berpijak di bumi Jerman, Qaseh Rania sama sekali tidak menyangka rupa paras dan bentuk fizikalnya bakal menjadi topik perbualan pertama mereka.