Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
SEGALA-GALANYA kini berkisar kepada permainan minda, kata Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. Kepadanya, ia mungkin tidak akan sesukar ini jika tiada apa lagi yang menjadi pertaruhan. Tapi, apabila slot ke Piala AFC musim depan menjadi perebutan, segala-galanya menuntut perincian.
Musim lalu, Selangor menamatkan musim di tangga kelima. Andai tewas dua perlawanan terakhir musim ini pun, skuad Merah-Kuning itu masih akan berada serendah-rendahnya di tangga ketiga kerana Sabah FC di tangga keempat tidak lagi mampu memintas.