MENJELANG pembukaan jendela perpindahan Liga Super, pelbagai khabar angin mula bertebaran di media sosial dengan penyokong teruja untuk melihat penghijrahan nama-nama besar.
Tumpuan utama diberikan kepada penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang disebut-sebut akan pulang ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tempoh pinjaman di Kedah Darul Aman (KDA) FC berakhir.
Bagaimanapun, peluang terhad di Selatan tanah air disebabkan lambakan penyerang lain yang lebih berkualitu akan mendesak pemain tersebut untuk mencari kelab baharu bagi kempen akan datang.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Khidmat mungkin tak diperlukan JDT, Terengganu sedia sambar Syafiq Ahmad berbanding Selangor
BACA LAGI: Jika bukan Selangor, ada 3 kelab sedia sambar Syafiq Ahmad selain kembali ke SSI
Syafiq Ahmad dilaporkan berada dalam radar Terengganu FC dan Selangor FC. — Facebook/KDA FC
Melihat kepada khabar angin semasa, Syafiq Ahmad dilaporkan sudah berada dalam radar dua pasukan Liga Super iaitu Selangor FC dan Terengganu FC yang masing-masing mahu memperkuatkan barisan hadapan mereka.
Perebutan kedua-dua kelab itu sudah tentu menarik untuk disaksikan sepanjang jendela perpindahan kerana mereka perlu memberi tawaran berbaloi untuk menarik minat penyerang berusia 29 tahun terbabit.
Namun, Syafiq Ahmad bukanlah satu-satunya pemain sedang diburu lebih daripada satu kelab ketika ini dengan laporan semasa di media sosial menyatakan beberapa yang lain turut mengalami dilema sama.
1. Khuzaimi Piee
Sejak menyertai Selangor FC dua musim lalu, nama Khuzaimi Piee sudah mula dilupakan apabila dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan meskipun satu ketika dahulu pernah diangkat sebagai pertahanan terbaik.
Pemain yang selesa diturunkan sebagai bek tengah itu juga boleh diletakkan di posisi sayap bertahan dengan kelebihan sedemikian pernah menjadikannya rebutan kelab Liga Super sebelum akhirnya memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah.
Jadi, selepas dua musim di Lembah Klang, Khuzaimi akhirnya memilih untuk berkelana selepas hanya diberikan 20 penampilan dalam tempoh berkenaan yang adalah satu pulangan mengecewakan.
Tempoh dihabiskan Khuzaimi (kanan) bersama skuad Gergasi Merah tidak membuahkan hasil. — Facebook/Selangor FC
Pilihan kini terbuka buat pemain berusia 31 tahun itu kerana meskipun berkali-kali bergelut dengan isu kecergasan, pengalaman dimilikinya merupakan satu aset buat pasukan yang mahu memantapkan skuad terutamanya segi pertahanan.
Negeri Sembilan FC yang merupakan kelab Khuzaimi sebelum dia menyertai Selangor FC merupakan destinasi terbaik kerana dalam pasukan tersebut, tiada pemain cukup berkaliber sepertinya.
Bagaimanapun, skuad Jang perlu segera sekiranya mahu mendapatkan pemain terbabit kerana laporan semasa turut mengatakan Melaka FC yang merupakan kelab di negeri kelahirannya turut berminat.
2. Shivan Pillay
Salah seorang pemain yang meraih manfaat besar daripada peluang diberikan Yusri Che Lah kepada ‘ubi muda’ Perak FC ialah Shivan Pillay selepas dia berjaya mengukuhkan status sebagai antara bek tengah lokal konsisten.
Meskipun beberapa kali melakukan kesilapan, pemain yang tenang dalam membuat hantaran dan mematahkan serangan lawan itu masih boleh digilap dan seterusnya diangkat ke dalam skuad kebangsaan.
Jadi, dengan masa depan skuad The Bos Gaurus (TBG) masih terumbang-ambing, laporan mengatakan bek tengah berusia 24 tahun tersebut sudah mula dirisik kelab Liga Super yang lain.
Bakat dimiliki Shivan masih boleh digilap mana-mana kelab yang berminat dengan khidmatnya. — Facebook/Perak FC
Berdasarkan laporan semasa, Negeri Sembilan FC yang mahu melupakan episod duka musim ini dilaporkan bersedia untuk mendapatkan khidmat Shivan sekiranya dia mahu mencari angin baharu.
Kedah Darul Aman (KDA) FC turut difahamkan berminat dengan tonggak Perak FC berkenaan meskipun masa depan skuad Sang Kenari juga samar-samar ekoran masalah gaji yang tidak berpenghujung.
Keputusan akhir hanya boleh diberikan Shivan sebelum permulaan musim depan dengan dia pasti mahu memilih destinasi baharu tanpa terburu-buru demi masa depan sendiri.
3. J Partiban
Prestasi sedikit mengecewakan dari pemain sayap, J Partiban buat Kuala Lumpur (KL) City FC musim ini apabila dia hanya merekodkan satu bantuan jaringan dalam 24 penampilan secara keseluruhan.
Sumbangan kurang memuaskan itu boleh dikatakan berpunca daripada isu pengurusan yang berlaku sehingga menjatuhkan moral penyerang tersebut serta pemain lain apabila kelab Lembah Klang tersebut hanya berada di tangga keenam musim ini.
Jadi, dengan KL City FC masih memiliki pilihan lain dalam barisan serangan, tidak mustahil sekiranya Partiban berkelana, sekali gus menamatkan tempoh lima tahun bersama skuad Warga Kota.
Pulangan Partiban di hadapan gawang musim ini cukup mengecewakan. — Facebook/Kuala Lumpur City
Bagaimanapun, pemain kelahiran Perak itu tidak perlu runsing kerana ketika ini, sudah terdapat beberapa kelab mahu mendapatkan khidmatnya meskipun usianya sudah mencecah 32 tahun.
Penang FC yang mula mendapatkan nafas baharu di bawah Wan Rohaimi Wan Ismail dilaporkan sedang memantau perkembangan pemain itu dengan gandingannya bersama Dylan Wenzel-Halls pasti menarik untuk disaksikan.
Finalis MFL Challenge Cup 2024/25, PDRM FC turut difahamkan mahu membuat tawaran kontrak dengan kestabilan pengurusan pasti membuatkan Partiban tertarik untuk menyertai pasukan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram