PASUKAN Terengganu FC sedia berjuang untuk mendapatkan tiga mata penuh menjelang aksi pertama berdepan Perak FC pada Sabtu dalam saingan Liga Super 2024 demi pemain sayap mereka, Akhyar Rashid.
Sebelum sepak mula di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, skuad Sang Penyu itu akan mengadakan solat hajat untuk Akhyar termasuk bintang Selangor, Faisal Halim yang menjadi mangsa serangan asid di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.
Faisal yang juga bekas tonggak Terengganu musim 2021 itu kini berada di salah sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, manakala Akhyar sedang menjalani rawatan di rumah.