PENCABAR takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Arsenal gagal mengecilkan jurang dalam carta apabila mencicirkan dua mata apabila sekadar seri 2-2 ketika menerima kunjungan Aston Villa di laman sendiri pada Ahad.
Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan skuad The Gunners dibolosi sebanyak dua kali pada babak kedua kepada gol Youri Tielemans dan Ollie Watkins selepas mendahului menerusi jaringan Gabriel Martinelli dan Kai Havertz.
Keputusan tersebut sudah tentu mengecewakan kelab London terbabit kerana mereka kini berada enam mata di belakang pendahulu, Liverpool yang beraksi kurang satu perlawanan.