KEM Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dijangka menerima khabar gembira apabila bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan dikhabarkan berkemungkinan besar mengemudi pasukan Pantai Timur itu musim depan.
Dengan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa, Elavarasan dilihat sebagai calon ideal untuk membimbing pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang, yang kini dalam usaha membina semula kekuatan selepas melalui musim yang mencabar.
Pemilihan ketua jurulatih untuk KDN FC bukan sahaja penting dari aspek prestasi di atas padang, malah turut memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan penyokong serta hala tuju jangka panjang kelab.