SELEPAS menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi akibat kanser prostat, keadaan kesihatan bekas penyampai radio Kieran mula menunjukkan perubahan positif.
Kieran atau Maskiran Jakiran, 50, berkata, badannya tidak lagi terasa lemah malah merasai banyak perubahan terutamanya dalam menjalani rutin harian.
Bagaimanapun kata Kieran, kesan kimoterapi tangan dan kakinya sudah tidak kuat seperti dahulu namun tetap bersyukur keadaannya semakin baik.
Ketua Pengarah Kandungan Kumpulan Media Star (SMG), Datin Paduk Esther Ng Sek Ng (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SMG Chan Seng Fatt (tengah) danPengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan (kanan) bersama Kieran. – Foto Azlina Abdullah
“Selepas pembedahan dan kimoterapi, Alhamdulillah sel kanser semakin berkurangan tapi sakit-sakit itu masih ada. Cumanya saya ‘pura-pura’ kuat dan macho.
“Waktu siang nampak okay tapi apabila malam berdenyut sana sini. Nak bangun pun terasa macam orang tua, tidak boleh mengejut terasa macam nak pitam.
“Tangan saya bengkak selepas kimoterapi dan masih belum surut lagi, tak boleh pegang barang terlalu lama. Memandu pun tidak boleh jauh tapi kalau dalam Kuala Lumpur saya paksakan juga,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN:Kuat melawan kanser, Kieran sebak masih diberi peluang bertemu Ramadan tahun ini
ARTIKEL BERKAITAN:Keluarga penguat semangat Kieran lawan kanser prostat, pasang niat tunai umrah atau haji
Kieran berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Terbaek Raya mStar yang diadakan di The Agam Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Kieran memberitahu sejak kisahnya mendapat perhatian, dia banyak menerima tawaran mencuba perubatan tradisional bagi merawat kanser.
Bagaimanapun kata Kieran, dia terpaksa menolak semua tawaran tersebut atas nasihat doktor yang meminta dia memfokuskan kepada satu rawatan sahaja.
“Setakat ini tiada rujukan ubat luar sebab doktor sudah pesan awal-awal tak campur ubat atau rawatan.
Sekarang hidup saya sangat membosankan.
KIERAN
BEKAS PENYAMPAI RADIO
“Saya faham niat mereka hendak membantu tapi rawatan tersebut mungkin serasi buat mereka tetapi tidak untuk saya.
“Biasanya saya memang tolak secara baik agar tidak mengguris perasaan mereka,” kongsinya.
Berkongsi lanjut tentang keadaannya, Kieran memberitahu kehidupan hariannya kini agak membosankan disebabkan tidak boleh melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan.
Kieran bersama isteri dan anaknya.- Foto Azlina Abdullah
Bagaimanapn kata Kieran, bagi mengurangkan rasa bosan, dia banyak membantu isteri berniaga kek.
“Kalau dulu saya aktif bersukan, joging seminggu lima kali, main bola dan badminton dua kali seminggu tapi sekarang sudah setahun saya tak buat apa-apa.
“Sekarang hidup saya sangat membosankan, duduk rumah saja. Kerja nak berdiri lama pun tak boleh, saya ikut isteri pergi jual kek sebab kalau buat lembik badan jadi ‘jem’,” kongsinya.
Kieran berkongsi khabar bersama rakan media.- Foto Azlina Abdullah
Dia yang juga penerima sumbangan program mStar Baek musim ketiga memberitahu bersyukur atas bantuan diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat merigankan beban selepas setahun tidak berkerja.
“Saya rasa ini inisiatif yang sangat baik, saya terima kad perubatan yang boleh digunakan sebanyak 12 kali rawatan.
“Apa yang mereka beri ini sangat membantu kepada orang macam kami yang tiba-tiba ditimpa musibah. Terima kasih mStar dan KPJ,” luahnya.
Penerima sumbangan mStar Baek musim ketiga diraikan bersama tetamu terhomat dalam majlis Terbaek Raya mStar pada Rabu.– Foto Azlina Abdullah
Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”).
Turut menerima sumbangan adalah Fendy Caliph Busker yang tabah membesarkan anaknya yang merupakan OKU penglihatan sepertinya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.
Selain itu, atlet para Nurul Shakina Abdullah Teh yang kini menjadi penyanyi jalanan untuk membesarkan dua anaknya serta Mohammad Saad Habizal yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) dan masalah tulang belakang bengkok.
Tidak ketinggalan pelakon Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!