Dengar Suria

Hiburan

‘Peluru Coklat’ bukti Barbarik serius, hiburkan peminat 28 Jun di Zepp KL

KEMBALI menghiburkan peminat, kumpulan Barbarik bakal tampil dalam sebuah konsert ‘Barbarik Pentas Peluru Coklat’ pada 28 Jun depan.

Istimewanya, Barbarik bakal memberikan persembahan bertenaga menerusi seleksi lagu terbaik mereka sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.

Menurut vokalisnya iaitu JoBranko, meskipun setiap anggota bukanlah orang baharu dalam industri namun gabungan atas nama Barbarik ini pastinya akan memberi satu kelainan buat peminat.

“Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss (vokalis) bersama Wings, tetapi kali ini ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti band Barbarik sendiri.

Album pertama Barbarik hadiah istimewa buat peminat.

“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada semua peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin anda secara total dari mula hingga akhir.

“Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun,” katanya kepada mStar.

Selain JoBranko dan Muss kumpulan ini turut dianggotai oleh Rozaimi (bass) serta Ainol (dram).

ARTIKEL BERKAITAN:Search dan Barbarik kongsi pentas lagi, Konsert Double Trouble 2 kembali 5 Ogos

ARTIKEL BERKAITAN:Awie pilih diam isu dengan JoBranko, canang cerita bukan cara selesai masalah

Konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam.

Bakal membawakan lagu-lagu baharu dalam album pertama mereka, JoBrako juga memberitahu kemunculan ini membuktikan mereka serius terus memperjuangan muzik sendiri.

Ia juga bagi mengubati kerinduan peminat untuk melihat gandingan bersama Muss yang mana mereka pernah bergandingan dalam kumpulan Wings tahun 1996 hingga 2000.

Jika peminat mendengar album ini mereka akan tahu identiti Barbarik

JOBRANKO

GITARIS BARBARIK

“Tujuan kami menghasilkan album Peluru Coklat adalah untuk menandakan bahawa kami serius sebagai sebuah kumpulan dan bukan sekadar sebuah projek band atau mengambil kesempatan atas sejarah kami.

“Dengan ada material baharu, kami dapat bergerak dan menyusun strategi dengan lebih kemas untuk terus berada dalam industri muzik tempatan. Jika peminat mendengar album ini mereka akan tahu identiti Barbarik,” ujarnya.

Kesemua lagu adalah hasil ciptaan JoBranko, manakala barisan penulis lirik terdiri daripada Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan Jo Branko sendiri.

JoBranko mahu peminat kenal identiti Barbarik.

Sementara itu proses mastering dilakukan di Benchmark Mastering oleh Don Bartley di Brisbane Australia.

Sebagai hadiah buat peminat, album tersebut yang dilancarkan sejak November tahun lalu boleh didapati secara fizikal serta digital iaitu pembelian secara e-mel.

“Kami mendengar permintaan peminat yang masih mahukan album fizikal dan bagi saya sendiri album fizikal ada nostalgia yang tersendiri,” jelasnya.

Sementara itu pembelian tiket konsert boleh dibuat secara atas talian di www.ilassotickets.com.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

0%