KONTROVERSI kekeluargaan yang berterusan minggu lalu terhadap Shila Amzah dipercayai menjadi penyebab penonton memilih untuk menonton rancangan terbitan TV3 iaitu Famili Duo 2023 (FD2023) pada Ahad sehingga ia berjaya menjadi program hiburan utama pilihan penonton.
Rancangan minggu pertama itu berjaya meraih tontonan sebanyak 3.8 juta tontonan mengalahkan semua program hiburan di semua saluran televisyen yang bersiaran pada waktu sama termasuklah program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang ditayangkan di saluran Astro Ria seperti dilaporkan agensi pengukuran AC Neilsen.
Selain isu berkaitan Shila Amzah, percaturan TV3 turut membuahkan hasil selepas penonton dikejutkan dengan penampilan adik-beradik kumpulan Zero iaitu Sharif Khadir Doli Sharif dan Mohd Syaiful Doli Sharif sebagai pasangan duo keenam.