Suria7

ARTIKEL

YBae Pah Realisasi Hajat Adik Syahmi, Pesakit Kanser Tahap 4 Jumpa Safee Sali

Rara, penyampai Suria Petang yang popular dengan gelaran YBae Pah telah merealisasikan impian seorang penghidap kanser otot tahap 4, Wan Muhammad Syahmi Ezan (adik Syahmi) dengan mempertemukan beliau bersama idolanya, Safee Sali bekas pemain bola sepak kebangsaan pada 12 Julai 2023 lalu.

Menurut penyampai radio Suria Petang gandingan bersama Tyzo itu, pertemuan adik Syahmi dan Safee Sali merupakan salah satu inisiatif dari pihak Suria FM untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai anak-anak penghidap kanser.

“Sebenarnya semua terjadi secara kebetulan, macam orang kata jodoh kerana sewaktu berkunjung ke rumah adik Syahmi bagi projek bersama klien Suria FM sebelum ini, saya ada tanya pada beliau tentang keinginannya yang belum tercapai. Ternyata, adik Syahmi berhasrat untuk berjumpa dengan Safee Sali dan mujur saya mengenal beliau. Saya sangat gembira dapat mempertemukan adik Syahmi dan idolanya, semoga hubungan baik antara mereka ini berterusan sekaligus dapat membahagiakan adik Syahmi” ujarnya.

Tambah Safee Sali, bekas pemain bola sepak kebangsaan, “Saya sangat gembira dapat meluangkan masa bersama kak Rara juga adik Syahmi sekeluarga. Pada mulanya, semasa saya dijemput dan diberitahu oleh kak Rara dan Suria FM mengenai adik Syahmi saya sangat berbesar hati apabila beliau meminati saya walaupun dalam keadaannya yang lemah. Buat adik Syahmi, saya doakan beliau untuk tidak pernah berputus asa, sentiasa berfikiran positif kerana tiada apa yang mustahil di dunia ini. Saya akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan moral buat adik Syahmi untuk terus bangkit melawan sakitnya dan kepada Suria FM juga Kak Rara, terima kasih untuk inisiatif sebegini bagi merealisasikan impian beliau. Semoga pendekatan ini dapat memberikan impak positif kepada orang ramai untuk turut membantu para pejuang kanser di luar sana”.

Puan Masyitah, ibu kepada adik Syahmi turut meluahkan rasa syukur diatas peluang yang diberikan buat anak bongsunya dan tidak menyangka hasrat anaknya itu akan tercapai.

“Saya sangat bersyukur dan terharu apabila impian anak saya, Syahmi tertunai kerana sememangnya beliau menanam hasrat sejak dahulu lagi untuk bertemu Safee Sali. Semuanya bagai mimpi dan saya percaya ini rezeki anak saya kerana ia berlaku secara tiba tiba setelah program temubual bersama Kak Rara tempoh lalu. Syahmi sangat teruja selepas Kak Rara dan Suria FM berkeinginan untuk mempertemukan beliau dan idolanya. Ribuan terima kasih kepada pihak Suria FM dan Kak Rara diatas peluang dan pengalaman yang sangat indah buat Syahmi”

“Buat ibu bapa di luar sana, teruskan berjuang untuk anak-anak yang menghidap penyakit kanser atau apa sahaja penyakit kerana semangat mereka datangnya daripada kita selaku keluarga. Terus berikan kata positif sekaligus menyakinkan mereka untuk kekal melawan penyakit yang dihadapinya”, ujarnya.

Suria FM telah dikejutkankan dengan khabar duka bahawa adik Syahmi baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 31 Julai 2023 (Isnin) lalu sekitar jam 6.15 pagi. Sebelum ini, arwah pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap penyakit kanser otot tahap 4 pada April 2021 sewaktu ulang tahunnya yang ke-14 lalu.

Suria FM mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah adik Syahmi, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

Jangan lupa saksikan momen terakhir YBae Pah bersama adik Syahmi berjumpa dengan idolanya, Safee Sali seorang lagenda bola sepak tanah air di semua digital platform Suria Malaysia dan di saluran Youtube Suria TV di pautan:

0%