“Mohon doa dan sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya.” Itu luahan sayu seorang wanita, Teh Hayati Ismail, apabila suaminya yang dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), laluan Ajil-Bukit Besi dekat Terengganu pagi Jumaat.
Teh Hayati memuat naik hantaran pilu di laman Facebook beberapa jam selepas menerima berita duka mengenai pemergian suami tercinta, Che Rosli Che Mat, 57, yang memandu sendirian dari Kelantan sebelum kenderaan dinaikinya terbabas di lokasi kejadian.
“Suami saya, Che Rosli bin Che Mat telah kembali ke rahmatullah hari ini, 11 April 2025, hari Jumaat. Kepada yang mengenali arwah, mohon doa dan sedekahkan Al-Fatihah. Jika ada kesalahan, mohon dimaafkan,” tulisnya.