HATI siapa yang tidak luluh apabila melihat anak saudara yang disayanginya sejak kecil kini terbaring tidak sedarkan diri, bertarung nyawa selepas terlibat dalam satu kemalangan pada Ahad.
Itulah yang dirasai oleh Sumardy Abdul Sani, apabila anak saudara sulungnya, Muhammad Sopian Suardy (mesra dengan panggilan Pian), terlibat dalam satu kemalangan ngeri di jejambat berhampiran Lembaga Pelabuhan Klang dekat Klang, Selangor petang Ahad, sejurus pulang dari kerja syif pagi.
Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai dihimpit oleh sebuah lori treler, menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terpelanting dan jatuh dari jejambat.