PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia boleh tersenyum lebar apabila akhirnya berjaya menamatkan kemarau 17 bulan tanpa sebarang gelaran selepas muncul juara kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland pada Ahad.
Pada aksi final di Arena Vantaa Energia, pemain ranking ke-14 dunia itu kembali berada di landasan sebenar selepas mengenepikan cabaran rakan senegara, Ng Tze Yong, dalam pertarungan 40 minit.
Pemain kelahiran Kedah itu mempamer aksi memberangsangkan apabila menang set pertama dengan keputusan 21-14 sebelum meneruskan momentum tersebut di set kedua 21-15 ke atas lawannya yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.