KEMENANGAN penting direkodkan Penang FC ketika menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Alif Ikmalrizal menggamatkan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Aksi dipenuhi pelbagai momen hangat itu turut menceritakan kesungguhan skuad Harimau Kumbang yang masih bercita-cita besar untuk berada di kedudukan lebih baik selepas satu musim sedikit hambar.
Bagaimanapun, dalam pertembungan tersebut, kesemua pemain memberi aksi terbaik dalam aksi terakhir di laman sendiri dengan keazaman ditonjolkan menerima pujian pengendali pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail.