SEPERTI ulangan final Piala FA musim lepas, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) sekali lagi akan beradu kekuatan untuk menentukan pasukan manakah akan membawa pulang trofi ke-102 Piala Malaysia dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember nanti.
Harimau Selatan pastinya pasukan pilihan untuk menjuari trofi Piala Malaysia musim ini terutamanya selepas mencatat rekod tanpa kalah dan kemenangan besar ke atas Perak FC 8-1 yang menyaksikan JDT menang 12-2 secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis lalu.
Manakala, skuad Sang Penyu pula melewati perjalanan yang cukup bergaya dengan mengatasi pasukan pilihan, Selangor di suku akhir sebelum menamatkan cabaran Kuala Lumpur (KL) City di separuh akhir dengan kemenangan 4-2 secara agregat pada Sabtu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.