PEMAIN Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi menunjukkan sisi berbezanya yang mengagumkan penyokong tempatan dalam sebuah sesi siaran langsung di aplikasi TikTok baru-baru ini.
Dalam siaran tersebut, Arif Aiman dilihat meluangkan masa berinteraksi dengan para peminatnya secara santai, tetapi satu momen yang paling mencuri perhatian ialah apabila dia mengajak seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) untuk berkomunikasi bersama.
Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melayani peminat pekak berkenaan dalam bahasa isyarat ringkas dan bertukar-tukar nota dengan menulisnya di telefon pintar untuk ditunjukkan kepada lelaki yang dikenali sebagai Bek tersebut.