KONTINJEN Klang mengesahkan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024 pada Khamis dengan kelebihan 18.5 mata mengatasi Petaling Perdana, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam sejarah temasya tahunan Selangor itu.
Kejayaan ini bertambah manis apabila ia merupakan kemenangan kali pertama selepas tiga tahun tewas kepada Petaling Perdana dengan Klang mengumpul keseluruhan 40 pingat emas, 27 perak dan 22 gangsa.
Petaling Perdana, juara edisi 2020, 2022 dan 2023 (2021 tiada rekod disebabkan Covid-19) terpaksa akur sebagai naib juara dengan kutipan 30-28-33, diikuti Hulu Langat (18-23-18).