SKUAD sepak takraw negara gagal menamatkan penguasaan Thailand selama 25 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki selepas tewas dalam perlawanan akhir pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Jinhua, China pada Jumaat.
Kecemerlangan Thailand selaku gergasi dunia pada aksi di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua kira-kira 170 kilometer dari Hangzhou itu menyaksikan mereka merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih pingat emas buat kali ketujuh berturut-turut sejak edisi 1998 di Bangkok.
Malaysia pula terpaksa berpuas hati dengan perak untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.