KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi bantuan yang diperlukan oleh atlet kayak, Siti Nurul Masyitah Elias susulan dilaporkan cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu mabuk pada Sabtu.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, kementerian berkenaan sudah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Johor untuk berhubung dengan keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan yang sepatutnya kepada Nurul Masyitah.
“Bukan semua atlet dalam keluarga yang senang, macam pelajar (Nurul Masyitah). Kita (KBS) sudah mengarahkan jabatan KBS Johor untuk berhubung dengan keluarga dan hulurkan bantuan yang diperlukan. Kita minta doakan keselamatan dan akan bantu sebaik mungkin keluarga dan dia sepanjang rawatan,” katanya selepas ditemui pada majlis ‘Flag-Off’ dan Sidang Media Kayuhan Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia Bagi Latihan Pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 pada Rabu.