PERMATA bola sepak tanah air, Arif Aiman Hanapi terus mencipta namanya di peringkat Asia apabila menjaringkan dua jaringan gol untuk membantu Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Dua jaringan diledak Arif Aiman dan satu jaringan dari Juan Muniz serta Bergson da Silva berhasil memastikan tiga mata dimiliki oleh skuad bimbingan Esteban Solari dan sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama baru-baru ini.
Sejurus kecemerlangan pemain berusia 21 tahun itu membuka akaun jaringan di kejohanan tertinggi Asia tersebut, ramai pihak luar mula membuka mata melihat bakat dari Malaysia dan mula memantau sama ada Arif Aiman sesuai berkelana di bumi Eropah.