ARENA bola sepak tanah air ketika ini sedang dihangatkan dengan pelbagai khabar angin dengan jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi.
Meskipun masih terdapat satu perlawanan Liga Super perlu dihadapi, penyokong kesemua pasukan seperti sudah tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran pemain baharu.
Jadi, dalam usaha membanjiri laman media sosial dengan lebih banyak gosip perpindahan, sebahagian peminat turut tidak terkecuali memberikan pendapat masing-masing.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Malah, pelbagai khabar angin turut diberikan sebilangan pengamal media yang seakan-akan sengaja memberikan bayangan di platform tersendiri.
Walaupun masing-masing pastinya sudah mengetahui kebenaran sebenar, ada di antara mereka yang tidak mahu mendedahkannya secara langsung untuk menghormati kepentingan kesemua pihak.
Ciapan Hafizal di laman Twitter peribadinya menimbulkan pelbagai spekulasi.
Antara yang sering memberikan perkhabaran ialah wartawan Astro Arena, Hafizal Hamad atau lebih dikenali sebagai Pak Long dalam kalangan penyokong.
Baru-baru ini, dia mendedahkan bahawa seseorang bakal pulang ke Terengganu menerusi satu ciapan di laman X peribadinya, namun tidak berkongsi identitinya secara tepat.
“Tak payah sewa rumah sebab rumah memang sudah ada di Kuala Terengganu,” tulisnya ringkas yang sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Meskipun tidak memberikan sebarang klu berbeza, terdapat tiga nama yang dilihat bakal kembali bersama skuad Sang Penyu untuk musim akan datang.
1. Safawi Rasid
Berdasarkan perkongsian Hafizal, orang ramai berasakan individu yang cuba dimaksudkan ialah pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid.
Penyerang yang memulakan kariernya bersama T-Team itu sudah beberapa kali dikhabarkan bakal kembali ke Pantai Timur setelah bergelut untuk mendapatkan minit permainan.
Bekas pemain paling bernilai Liga Super itu pernah dikaitkan dengan skuad Sang Penyu pada awal musim lalu sebelum dia memilih untuk berhijrah secara pinjaman ke Thailand untuk menyertai Ratchaburi FC.
Safawi terus dikaitkan dengan kepulangan ke Terengganu FC ketika ini. — Instagram/safawirasid29
Gosip perpindahan itu tidak terhenti di situ apabila pada pertengahan musim lalu, Safawi sekali lagi dikaitkan selepas tempoh pinjamannya tamat.
Namun, pemain berusia 26 tahun tersebut memilih untuk kekal bersama JDT dengan keputusan berkenaan menyaksikannya lebih kerap diletakkan di bangku simpanan dengan hanya dua penampilan Liga Super direkodkan.
Sekiranya Safawi berhasrat untuk mendapatkan semula rentaknya di atas padang, kepulangan ke Terengganu FC dilihat sebagai langkah terbaik buatnya.
Kekurangan saingan di posisi sayap bakal menyaksikan pemain tersebut lebih mudah diturunkan dengan peluang sekali lagi bergandingan dengan Tomislav Steinbruckner akan menjadi satu faktor pendorong.
2. Nafuzi Zain
Sekiranya ditanya peminat bola sepak tanah air, Hafizal yang merupakan seorang anak jati Kedah juga sering memberikan perkhabaran mengenai pasukan dari negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Jadi, tidak menimbulkan sebarang persoalan sekiranya Terengganu FC bakal menerima kepulangan seseorang dari skuad Sang Kenari pada musim depan.
Namun, apa yang menarik mengenai perkara itu adalah kerana ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain dilihat sebagai calon terbaik melihat kepada kariernya setakat ini.
Nafuzi merupakan individu cukup berpengaruh dalam kalangan peminat Terengganu FC. — Facebook/Ultras Tranung
Dia yang pernah berkhidmat buat kelab Pantai Timur berkenaan selama tiga musim mula dikaitkan dengan kepulangannya selepas perkara itu turut diuar-uarkan beberapa sumber lain.
Jurulatih berusia 45 tahun tersebut terus membuktikan kebolehannya bersama skuad Sang Kenari apabila dia membimbing mereka ke kedudukan ketiga Liga Super setakat ini.
Selain itu, prestasi tidak menentu serta isu keharmonian di sebalik tabir turut menyaksikan kedudukan Tomislav semakin goyah bersama skuad Sang Penyu.
Bagaimanapun, perkhabaran itu dilihat masih tidak kukuh memandangkan Nafuzi pastinya tidak mahu mensia-siakan usaha yang diberikannya buat KDA FC musim ini.
3. Kamal Azizi
Melihat kepada gosip perpindahan ketika ini, tiada yang mengatakan Terengganu FC bakal mendapatkan semula bek sayap, Kamal Azizi yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.
Namun, situasi kedua-dua pihak dilihat cukup serasi dengan skuad Sang Penyu memerlukan seorang pemain pertahanan yang berkualiti, terutamanya di sebelah kanan.
Bek utama mereka, Azam Azmi Murad dikhabarkan bakal menyertai JDT pada jendela perpindahan akan datang, sekali gus mendesak kelab Pantai Timur itu untuk mendapatkan seorang yang boleh dipercayai.
Pengalaman Kamal sememangnya cukup diperlukan skuad Sang Penyu ketika ini. — Facebook/Kuala Lumpur City
Kamal yang sememangnya konsisten sepanjang tiga musim di ibu kota boleh dianggap sebagai calon terbaik dengan statusnya sebagai anak jati Terengganu menguatkan lagi gosip tersebut.
Selain itu, isu gaji yang dialami skuad Warga Kota pasti membuka peluang rundingan buat skuad Sang Penyu untuk membawa pulang pemain berusia 30 tahun terbabit.
Untuk rekod, Kamal sebelum ini pernah beraksi bersama T-Team dari 2015 sehingga 2017 sebelum menyertai Terengganu FC pada 2018 dan meluangkan tempoh dua musim dengan kelab terbabit.
Sepanjang tempoh beraksi di Pantai Timur, pemain berkenaan pernah membantu skuad Sang Penyu melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, namun tewas kepada Perak FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram