SATU sambutan gilang-gemilang dianjurkan Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan terakhir Liga Super mereka menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu lalu.
Keraian yang dihadiri puluhan ribu penyokong itu diadakan selepas pasukan Selatan tanah air berkenaan mencatatkan sejarah menjuarai empat pertandingan semusim buat tahun kedua berturut-turut.
Tidak cukup dengan itu, kejayaan berkenaan dicatatkan dengan amat cemerlang apabila JDT tidak mengalami sebarang kekalahan di samping merekodkan 100 gol Liga Super selepas 26 perlawanan.