Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
“TIADA sebab kami harus lelong bila jumpa JDT,” kata ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, menjelang pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pada Sabtu.
“Kita pun ada maruah. Kalau boleh kita nak elak kena gol, seboleh-bolehnya kita nakkan seri,” tambahnya sambil berharap untuk membina semangat pemain-pemain untuk berhadapan dengan BG Pathum United dalam aksi peringkat kumpulan Piala Shopee di Bangkok empat hari selepas itu.