PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak gembira dengan pencapaian peribadinya apabila tercalon buat kali ke-4 untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.
Kualiti jurulatih dari Singapura ini mula mencuri tumpuan ketika bersama Kedah pada musim 2019 sehingga berjaya membawa pasukan menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada waktu itu sekaligus melayakkan beliau untuk berada di kelompok tiga terbaik ABK 2019.
Berjaya tercalon sejak musim 2019 sehingga 2021, membuktikan Aidil Sharin merupakan jurulatih yang mempunyai aura tersendiri untuk membentuk skuad terbaik termasuklah pada musim ini selepas mampu membawa The Cats melangkah ke kelompok lima teratas Liga Super setakat ini.