MESKIPUN peluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 boleh dianggap mustahil, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak akan mudah menyerah kalah apabila berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir kedua saingan itu, 23 September ini.
Pengendali NSFC, K. Devan percaya anak buahnya mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi untuk memberikan cabaran sengit kepada juara bertahan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
“Kita bercakap secara realiti (ke separuh akhir), jadi kita kena berjuang hadapi JDT… saya beritahu pemain, selepas tamat 90 minit perlawanan, kita perlu bangga dengan diri, apa yang kita persembahkan, saya rasa mereka boleh tunjukkan mereka boleh bermain dengan baik.