SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih, pada 10 Mei lalu.
Dalam titah kenyataan Sultan Selangor, baginda menganggap keputusan terbaharu MFL tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
Malah, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut menegaskan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.