BEKAS jaguh taekwondo negara, Elaine Teo Shueh Fhern tampil berkongsi kisahnya sebaik pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian adiknya yang memperoleh 10A dalam peperiksaan tersebut.
Dalam masa sama, Elaine turut menitipkan pesanan bermakna buat para pelajar yang mungkin tidak mencapai keputusan cemerlang agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus berusaha dan percaya bahawa setiap individu memiliki laluan dan rezeki yang berbeza.
Elaine yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008 mendedahkan bahawa dirinya hanya sempat membuat persiapan SPM selama sebulan selepas menyertai kejohanan sukan yang dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.